Monday, June 2, 2008

Permergian Izhar Saat

Seorang lagi teman yang aku kenali dipanggil untuk menyahut panggilan Ilahi. Seperti yang lazimnya apabila mendapat berita yang sebegitu lazimnya aku dan isteri akan bergegas pergi menziarahi, walaupun tidak diundang. Undangan tidak diperlukan dalam kes-kes seperti ini.

Ketika aku sampai, orang ramai telah ramai dikeliling beliau. Orang lelaki berada di keliling katil sedang membaca Yasin. Buku-buku Yasin telah tersedia di atas rak berdekatan dengan pintu masuk rumah beliau. Manakala orang perempuan masuk lebih dalam lagi duduk di tempat makan. Beliau diletakkan di atas katil “single bed” dengan tubuh ditutupi dengan batik jawa panjang, berhadapan masuk pintu rumah.

Sebelum pulang masing-masing hadirin, membuka tudung nipis putih yang yang menutup mukanya dan melihat wajahnya buat kali yang terakhir, berdoa dan ke kembali pulang ke rumah masing-masing. Muka beliau diikat dengan kain putih sebagai lazimnya bagi mengelakkan mulut daripada terbuka luas. Wajah yang bersih putih kelihatan seperti sedang tidur.

Semasa aku berjumpa dengan beliau dalam tidurnya, aku merasa sedih akan kehilangan seorang lagi teman walaupun perasaan itu tidak mendalam sangat hanyalah perasaan kehilangan seorang lagi teman diusia yang tua ini. Entah bagaimana setelah kembali ke rumah, beberapa ingatan lama datang semula. Bahkan perasaan sedih dan pilu, lebih meruntun dan terasa dibandingkan ketika aku menziarah beliau.

Alhamdullilah sejauh ingatan ini tiada perkara buruk yang beliau lakukan ke atas diriku. Sebaliknya aku juga berdoa semoga sepanjang bersahabatan kami aku tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap beliau. Beliau sentiasa menguntum senyuman. Enak bila bersua. Kami telah berkenalan seusia aku mula-mula datang bertandang ke Kuala Lumpur. Paling akhir aku berjumpa dengan beliau ketika kami sambil sapa menyapa dan bertanya khabar setelah usai sembahyang terawih di Markas Pas, di Taman Melewar.

Aku cuba mencungkit ingatan-ingatan lama. Beberapa peristiwa penting menjelma. Pertama, beliau adalah orang yang pertama yang menunjukkan yang Perang Besar akan di jadikan pusat pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang sekarang ini dikenali sebagai Putrajaya. Walaupun beliau beria-ia untuk menjual tanah-tanah di situ dengan harga yang murah namun aku keberatan untuk membelinya pertamanya mengingatkan peristiwa bagaimana ura-ura untuk dibina Universiti Islam di Janda Baik, di Pahang tidak kesampaian sehingga banyak orang yang hilang wang beli tanah di situ.

Peristiawa kedua yang masih kuat melekat ke ingatanku ialah semasa pilihan raya tahun 2000 beliau menjadi calon Pas di Kangar, Perlis namun tewas. Malangnya aku tidak kesempatan turut turun berkempen untuk beliau.

Semoga Allah merahmati roh beliau. Semoga Allah memberi kesabaran kepada isteri dan anak-anak beliau. Wahai Izhar Saat, Kamu telah sampai kepada apa yang telah Allah janjikan. Kami juga sedang menunggu panggilan daripada Ilahi yang pasti datang. Kamu telah disembahyangkan di Masjid As Shakirin dan disemadikan di tanah perkuburan Islam di Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur pada 11.30 pagi, 3 Jun 2008.

Ya Allah ! janganlah kamu menghalang kami daripada mendapat pahalanya dan janganlah kami terfitnah selepas kematiannya. Ampunilah kami dan ampunilah dia. Amin.

No comments: