Tuesday, June 10, 2008

Apa Yang masih Ada pada Melayu

Tulisan Salleh Buang dalam akhbar pada Jun 2004



Coretan seoang pemikir Melayu, dalam kolum mingguannya di sebuah akhbar tempatan Ahad lalu, menarik perhatian saya. Katanya yang masih ada pada orang Melayu hanya tiga; Pertama kuasa politik; kedua kuasa pentadbiran dan ketiga Institusi Kesultanan. Yang sakitnya, menurut beliau ketiga-ketiga institusi itu masih boleh dimanipulasi atau dibeli.



Dulu kita ada akhbar harian bertulisan jawi (skrip asli orang Melayu) tetapi kini sudah tiada lagi. Dulu kita ada majalah bulanan tulisan jawi (seperti kiblat) kini juga sudah tiada lagi.



Sembilan tahun lalu, kita terbitkan MASSA, yang mahukan orang Melayu terus berfikir sambil mengikuti perkembangan semasa. Sedihnya, kini ia juga sudah tiada lagi.

Matinya akhbar harian dan majalah tulisan jawi bukan kerana harganya mahal dan tidak mampu dibeli. Ia mati kerana orang Melayu sendiri sudah tidak lagi berminat (atau mungkin kerana langsung tidak boleh) membaca jawi. Orang Melayu sudah menjadi buta huruf skrip asalnya sendiri.

Hakikatnya yang tidak dapat dinafikan lagi, bilangan orang Melayu yang mahir membaca jawi terus berkurangan. Semak sendiri, apakah anak-anak dan kita masih boleh membaca jawi dengan lancar ? Jika tidak boleh baca jawi tidak mustahil orang itu juga tidak mampu baca Quran.

Dalam tahun 70-an lalu, semasa saya masih berkhidmat di Jabatan Peguam Negara, ada kenalan sekerja yang membaca surah Yasin dalam versi Rumi kerana katanya dia tidak pandai (tidak yakin) baca versi asal.

Majalah mingguan Massa berkubur awal Jun lalu bukan kerana orang Melayu malas membaca. Kita tahu ada tabloid harian berbahasa Melayu yang laris dalam pasaran sehingga jumlah jualannya melebihi satu juta naskhah sehari.

Ini menunjukkan masih ramai orang Melayu yang rajin membaca. Masalahnya bahan Bacaan kegemarannya adalah sekadar yang sensasi, hiburan, ringan , remeh dan picisan.

Jika bahan bacaannya berat sedikit yang memerlukan pembaca memeras otak, orang Melayu akan menolaknya. Apakah puncanya sistem pendidikan kita, yang tidak menganjurkan dan mengalakkan bangsa kita berfikir ?

Jika bahan bacaan ilmiah bahasa Melayu telah pupus, apa lagi yang ada pada orang melayu ? Masih ada lagi baju Melayu. Itupun dipakai dua kali setahun (Hai Raya Puasa dan Hari Raya Adha). Selain itu, ada juga yang memakainya bila hendak ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Ada juga kueh Melayu, tetapi itupun sukar dicari di pusat-pusat bandar, di restoran besar dan di komplek perdagangan. Orang Melayu sendiri sudah tidak gemar makan kueh Melayu kecuali barangkali sekali sekala bila hendak berbuka puasa. Waktu itu, hotel bertaraf lima bintang pun sanggup dan bersedia menyajikannya.

Ada juga tanah rizab Melayu. Itupun ada sebahagiannya yang sudah jatuh ke tangan orang bukan Melayu. Mana yang masih kekal dalam tangan orang Melayu, sebahagiannya yang tinggal tidak dibangunkan atau dikerjakan. Terbiar begitu sahaja, tampa mendatangkan sebarang hasil bagi pemiliknya, apatah lagi memanfaatkan negara.

Ada juga adat Melayu yang sudah sejak dulu lagi diiktiraf mahkamah sebagai salah satu daripada sumber undang-undang negara ini. Tetapi itupun sebahagian kecil sahaja, kerana terdapat tiga lagi sumber undang-undang lain yang lebih berpengaruh.

Memang betul, seperti kata pemikir di atas tadi, orang Melayu masih ada kuasa politiknya dan kuasa pentadbirnya. Soalannya hingga bila ? Kita sentiasa diingatkan dengan kata-kata hikmat ini tiada ada sesuatu yang kekal di dunia ini kecuali perubahan. jadi pastinya nanti keadaan akan berubah. Bagaimana jika perubahan bukan kepada yang menjadi lebih baik tetapi menjadi lebih buruk. Bila kuasa politik sudah terhakis kerana tidak digandingkan dengan kuasa ekonomi), bila kuasa pentadbiran sudah dilemahkan dengan segala birokrasi dan rasuah, apa lagi yang masih tinggal pada orang Melayu ?

Ramai sahabat yang khuatir dan bimbang seruan Perdana Menteri agar kita menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang akan tinggal sebagai slogan kosong sahaja tidak mampu diterjemahkan menjadi realiti oleh agensi pelaksana dan pentadbir.

Saya turut khuatir, selagi bangsa Melayu tidak mengamalkan sikap dan budaya yang betul, hasrat murni Perdana Menteri tidak akan kesampaian. Saya selalu mengingatkan pelajar dan sahabat saya jika sesuatu bangsa itu hendak terus cemerlang, ia hendaklah bersedia mengamalkan tiga perinsip hidup yang amat penting seperti berikut:

Jangan berhenti membaca, jangan berhenti menambahkan ilmu, jangan berhenti meningkatkan diri.

Monday, June 2, 2008

Permergian Izhar Saat

Seorang lagi teman yang aku kenali dipanggil untuk menyahut panggilan Ilahi. Seperti yang lazimnya apabila mendapat berita yang sebegitu lazimnya aku dan isteri akan bergegas pergi menziarahi, walaupun tidak diundang. Undangan tidak diperlukan dalam kes-kes seperti ini.

Ketika aku sampai, orang ramai telah ramai dikeliling beliau. Orang lelaki berada di keliling katil sedang membaca Yasin. Buku-buku Yasin telah tersedia di atas rak berdekatan dengan pintu masuk rumah beliau. Manakala orang perempuan masuk lebih dalam lagi duduk di tempat makan. Beliau diletakkan di atas katil “single bed” dengan tubuh ditutupi dengan batik jawa panjang, berhadapan masuk pintu rumah.

Sebelum pulang masing-masing hadirin, membuka tudung nipis putih yang yang menutup mukanya dan melihat wajahnya buat kali yang terakhir, berdoa dan ke kembali pulang ke rumah masing-masing. Muka beliau diikat dengan kain putih sebagai lazimnya bagi mengelakkan mulut daripada terbuka luas. Wajah yang bersih putih kelihatan seperti sedang tidur.

Semasa aku berjumpa dengan beliau dalam tidurnya, aku merasa sedih akan kehilangan seorang lagi teman walaupun perasaan itu tidak mendalam sangat hanyalah perasaan kehilangan seorang lagi teman diusia yang tua ini. Entah bagaimana setelah kembali ke rumah, beberapa ingatan lama datang semula. Bahkan perasaan sedih dan pilu, lebih meruntun dan terasa dibandingkan ketika aku menziarah beliau.

Alhamdullilah sejauh ingatan ini tiada perkara buruk yang beliau lakukan ke atas diriku. Sebaliknya aku juga berdoa semoga sepanjang bersahabatan kami aku tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap beliau. Beliau sentiasa menguntum senyuman. Enak bila bersua. Kami telah berkenalan seusia aku mula-mula datang bertandang ke Kuala Lumpur. Paling akhir aku berjumpa dengan beliau ketika kami sambil sapa menyapa dan bertanya khabar setelah usai sembahyang terawih di Markas Pas, di Taman Melewar.

Aku cuba mencungkit ingatan-ingatan lama. Beberapa peristiwa penting menjelma. Pertama, beliau adalah orang yang pertama yang menunjukkan yang Perang Besar akan di jadikan pusat pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang sekarang ini dikenali sebagai Putrajaya. Walaupun beliau beria-ia untuk menjual tanah-tanah di situ dengan harga yang murah namun aku keberatan untuk membelinya pertamanya mengingatkan peristiwa bagaimana ura-ura untuk dibina Universiti Islam di Janda Baik, di Pahang tidak kesampaian sehingga banyak orang yang hilang wang beli tanah di situ.

Peristiawa kedua yang masih kuat melekat ke ingatanku ialah semasa pilihan raya tahun 2000 beliau menjadi calon Pas di Kangar, Perlis namun tewas. Malangnya aku tidak kesempatan turut turun berkempen untuk beliau.

Semoga Allah merahmati roh beliau. Semoga Allah memberi kesabaran kepada isteri dan anak-anak beliau. Wahai Izhar Saat, Kamu telah sampai kepada apa yang telah Allah janjikan. Kami juga sedang menunggu panggilan daripada Ilahi yang pasti datang. Kamu telah disembahyangkan di Masjid As Shakirin dan disemadikan di tanah perkuburan Islam di Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur pada 11.30 pagi, 3 Jun 2008.

Ya Allah ! janganlah kamu menghalang kami daripada mendapat pahalanya dan janganlah kami terfitnah selepas kematiannya. Ampunilah kami dan ampunilah dia. Amin.

Tuesday, May 13, 2008

Apa beza antara penjahat dan penjihad?

Artikel di bawah bertanya apakah bezanya antara pantun dan Pontun, Gamat dan gamad, kerusi dengan Kursi ? Rasmi dengan Resmi ? cekak dengan cekek ? kirim dengan hantar ?

Sayangnya bila cuba buka Kamus Dewan Edisi Ketiga, perkataan pontun dan juga gamad tak ketemu. Perkataan yang hampir dekat dengan ejaan pontun ialah ponton, dalam kamus Dewan pada muka surat 1051 tersebut bererti sampan yang rendah serta lebar (digunakan sebagai jambatan masa darurat); jambatan yang mempunyai ponton sebagai landasan ponton. Maaf aku sendiri pun kurang faham ayat 'jambatan yang mempunyai ponton sebagai landasan ponton.'

Di bawah ini aku perturunkan apa yang ditulis di Utusan;

Apa beza antara penjahat dan penjihad?

APA pasal anak-anak kita tidak pandai bahasa? Kita bukan bercakap mengenai bahasa Inggeris tetapi bahasa Melayu.

Kenapa anak-anak Melayu tidak pandai bahasa Melayu? Jawabnya mudah sahaja. Tetapi kita sekadar ingin beri dua sebab sahaja yang semua orang sudah pun maklum.

Sebab pertama ialah kerana orang Melayu terutama orang Melayu terpelajar - sangat gemar campur bahasa (Melayu dan Inggeris) bila mereka bercakap dengan anak-anak mereka.

Malah ada orang Melayu yang terus menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya bila mereka bercakap dengan anak-anak mereka. Itu pun mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris baku atau standard.

Mereka sekadar menggunakan bahasa Inggeris ‘pariah’ atau bahasa Inggeris kacukan.

Sebab kedua ialah penekanan melampau terhadap penggunaan bahasa Inggeris sejak anak-anak mereka masih kecil lagi. Anak-anak mereka jadi keliru.

Pepatah Melayu ada berkata kalau ingin melentur buluh biarlah semasa ia masih rebung lagi. Dalam kes anak-anak Melayu, rebung itu dilentur menjadi bengkang-bengkok dan sangat serabut.

Perbendaharaan kata bahasa Melayu dalam akal anak-anak Melayu menjadi sangat lemah. Ia bercampur-baur dengan bahasa Inggeris pariah dan menjadi sangat sukar untuk difahami. Hal ini dibawa mereka dalam akal hinggalah mereka dewasa.

Dalam kes perbendaharaan kata, cuba tanya anak-anak kita apa beza antara pantun dengan pontun, apa beza gamat dengan gamad, apa beza kerusi dengan kursi.

Cuba tanya mereka lagi apa beza antara rasmi dengan resmi, apa beza cekak dengan cekek; apa beza mengeluh dengan mengheloh dan apa beza kirim dengan hantar.

Malah cuba anda tanya anak-anak kita apa beza antara penjahat dengan penjihad. Mereka akan jawab, ahh sama saja, dua-dua pun penjenayah juga.

Jadi, apa yang boleh kita buat? Apakah ada jalan penyelesaian mudah kepada masalah ini?

Biarlah kita serahkan jalan penyelesaian masalah ini kepada seluruh umat Melayu.

MANSOR AHMAD SAMAN

Pulau Pinang

Utusan Malaysia 13/05/2008 ms 12