Tuesday, June 15, 2010

Rindu dengan kawan-kawan

Berjumpa dengan kawan-kawan pada waktu malam selepas sehari suntuk menghabiskan waktu siang memberi nikmat yang tersendiri. Apatah lagi berbual di kedai mamak dengan kopi tarik dan roti banjir atau nan tanduri. Skrin TV yang besar di kedai mamak juga turut membantu memeriahkan suasana.

Sambil bertanya khabar kadang-kadang gopsip kawan-kawan yang tidak bersama dengan kita malam itu sangat menghiburkan. Apatah lagi tiada undang-undang yang menghalang kita daripada bercakap dan berbual apa sahaja. Kita boleh bercakap pasal ekonomi, bercakap pasal politik. Kita boleh menolak segala pandangan tokoh-tokoh masyarakat. Kita boleh berkata begini dan begitu. Dan kita betul-betul ISA – Ikut Suka Aku. Apa yang kita fikir kita boleh hamburkan. Kawan kita pun sama, apa yang dia fikir ia boleh hamburkan. “Released tension”.

Secara umumnya kawan-kawan yang duduk berborak bersama-sama kita itu telah kita kenali bertahun-tahun lamanya. Mungkin inilah perjumpaan untuk melepaskan rindu sesama kawan, mengusik dan bersenda gurau. Inilah perjumpaan untuk melihat wajah-wajah kawan-kawan kita yang telah berubah dimamah usia.

Kadang-kadang terfikir juga untuk menjemput kawan-kawan yang memang terasa rindu sebab lama tak berjumpa. Namun itulah hakikat kehidupan. Masing-masing membawa haluan diri masing-masing dengan kesibukan dan keutamaan yang berbeza atau masing-masing ego untuk memulakan jemputan.


Pada kehidupan diusia tua ini teringat akan aku kata-kata 18, 40 dan 60. Pada usia 18 tahun kita rasa kita diperhatikan orang dan kita juga memerhati orang. Takut tidak mengikut trend, fesyen dan sebagainya. Pada usia 40 pula orang tidak memerhati kita dan kita sahaja yang memerhati orang lain. Pada usia emas pula terbalik daripada usia 18, Orang pun tidak melihat kita, kita pun tidak menjadi perhatian orang lain.

Mungkin pada usia emas ini tidak ramai kawan-kawan yang boleh diajak untuk berborak-borak di kedai kopi lagi. Kawan-kawan semuanya sebuk dengan keluarga masing-masing atau ramai yang menanggung sakit . Tapi ada suatu perkara yang menunjukkan yang kawan-kawan itu masih ingat akan diri kita. Apabila anak-anak mereka hendak berkahwin, mereka tidak lupa mengantar kad Jemputan.